Image hosted by Photobucket.com








    Cari tafsir Al-Quran
    Masukkan Kata Kunci(In English):
    dalam
    Koleksi Hadith
    Masukkan Kata Kunci(In English):
    dalam




Saturday, January 07, 2006

Sambutan Tahun Baru 2006: Simbol KEJATUHAN Moraliti Rakyat Malaysia?

Dikongsikan daripada koordinator Task Force 'Amr Ma'ruf Nahi Munkar di KLCC sempena Konvensyen Tarbiyyah Karisma Nasional 2005 baru-baru ini.


Tahun 2005 yang penuh dengan seribu satu kenangan telah meninggalkan kita. Kini tahun 2006 datang menjengah, mewujudkan seribu satu persoalan. Apakah yang bakal kita lalui sepanjang tahun ini. Apakah kedudukan Islam yang kita julang, samada akan terus ditindas atau hari yang mendatang bakal menjadi saksi Islam akan dijunjung. Allahu Akbar!

Task Force 'Amr Ma'ruf Nahi Munkar: New Year 2006

Di kesempatan ini, ingin saya kongsikan bersama secebis pengalaman di dalam 'meraikan' sambutan Tahun Baru 2006. Namun, saya tidak meraikannya bersama 'awek-awek', saya tidak meraikannya dengan clubbing, berdansa hingga ke pagi buta, saya tidak meraikannya dengan 'air kencing Syaitan' dan pokoknya saya akan cuba menghindari dari melakukan apa yang terlarang. Nauzubillahi min zalik!

Alhamdulillah, dengan kerjasama lebih 80 orang ikhwah, kami telah menjalani Task Force 'Amr Ma'ruf Nahi Munkar: New Year 2006, bertempat di sekitar KLCC. Program ini adalah anjuran Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA) dan dijalankan bersempena Konvensyen Tarbiyyah KARISMA Nasional (KTKN '05). Saya selaku koordinator program pada malam itu memang memuji KARISMA yang tidak pernah lupa untuk menganjurkan program sebegini, terutamanya ketika sambutan Tahun Baru dan sambutan Kemerdekaan. Selain KARISMA, terdapat juga badan-badan lain yang aktif di dalam program-program sebegini seperti GAMIS, PERKID dan lain-lain. Usaha ini perlu diteruskan. Biarpun tidak akan menghasilkan perubahan atau kesan yang drastik, sekurang-kurangnya masih terdapat segelintir pihak yang prihatin terhadap akhlak dan moraliti rakyat Malaysia terutamanya muda-mudi.

Lebih baik bertindak dari sekadar memandang dan berpeluk tubuh melihat muda-mudi tanah air yang semakin rosak dek budaya hedonisme natijah dari suapan hiburan yang berlebihan. Atau mungkin juga terkesan dari kurangnya pemahaman tentang hukum-hakam yang telah digariskan di dalam Islam. Mungkin Islam Hadhari acuan Pak Lah boleh main peranan...

Sebelum bertolak, para ikhwah telah dibahagikan kepada empat kumpulan yang bakal melaksanakan tugas di kawasan masing-masing. Pembahagian zon dijalankan bagi memastikan dakwah yang dijalankan bersifat komprehensif yakni tidak tertakluk pada suatu kawasan sahaja. Modus operandi adalah untuk menyebarkan risalah dan buku kecil yang dibekalkan oleh Jemaah Islah Malaysia (JIM). Manakala operasi tambahan adalah untuk mencegah maksiat yang berlaku di depan mata dengan seminima mungkin. Maklumlah, sekiranya kita aplikasikan hadith Rasulullah SAW tentang kaedah apabila berhadapan dengan kemungkaran, semestinya para 'pencegah' akan dihadapkan ke mahkamah kerana tiada undang-undang yang membenarkan usaha-usaha ini. Undang-undangnya memang ada (lihat sahaja pelbagai Akta Syariah yang diperuntukkan), tetapi perlaksanaannya, mungkin satu dalam seribu...

Maka, laksanakanlah apa yang mampu dilakukan...

Perjalanan ke KLCC dan 'Disko Terbuka'

Lebih kurang jam 12.15 malam, bertolak dari UIAM ke KLCC menaiki PUTRA LRT dengan keadaan yang amat selesa. Pertama kali saya naik tren dalam keadaan yang cukup 'hening' sedangkan lazimnya LRT padat seperti 'tin sardin'. Seolah-olah tren itu kami yang punya. Mungkin orang ramai telah bersedia seawal-awalnya di KLCC untuk menyaksikan konsert yang telah 'disediakan' khas buat mereka. Sememangnya kami sudah terlepas untuk menyaksikan pertunjukan bunga api, maklumlah 'ketinggalan zaman'. Orang sudah lama pergi, kami baru bertolak...

Tiba di stesen KLCC lebih kurang jam 1 pagi, sebaik sahaja keluar dari bangunan stesen, kami 'dihidangkan' dengan 'jamuan mata' yang cukup menarik. Bukan sekadar pasangan-pasangan berkepit, tetapi pandangan kami digamit oleh sebuah disko yang 'terbuka'. Sebuah 'kanopi' didirikan, mengundang muda-mudi atau sesiapa sahaja yang berusia 18 tahun ke atas dengan syarat membawa kad pengenalan. Beberapa orang ikhwah memantau tempat tersebut, dan didapati tempat tersebut sama seperti disko. Tari-menari dan pergaulan haram antara lelaki dan perempuan (dan mungkin juga homoseksual).

Sesetengah ikhwah yang baru pertama kali menyertai program (kebanyakannya dari kawasan Pantai Timur) sebegini melopong dan ternganga. Inilah Kuala Lumpur! Inilah Malaysia! Terimalah hakikat ini. Hakikat yang mungkin tersembunyi, tetapi realiti masyarakat kita! Tetapi yang mengejutkan, 'disko' ini adalah anjuran salah sebuah syarikat telekomunikasi di negara kita. Anak syarikat T*. Bukankah syarikat ini bernaung di bawah kerajaan? Apakah kerajaan mengizinkan majlis maksiat sebegini?

Dengan hati yang patah, perjuangan perlu diteruskan. Risalah dan buku mini terus diedarkan. Pelbagai reaksi telah diterima. Perli, ketawa, celaan dan marah menjadi penerimaan terus di dalam jiwa. Namun, yang paling menggembirakan, majoriti menerimanya dengan positif. Ada yang memuji usaha yang tidak seberapa ini. Sebenarnya, mereka tidak faham tentang Islam dan inilah peranan Muslim yang faham untuk menyedarkan mereka. Bukan sekadar memperkayakan ilmu agama untuk diri sendiri...

Krisis di Masjid As-Syakirin

Tepat jam 2.00 pagi, sebagaimana yang dirancang, para ikhwah perlu berkumpul di 'permata di dalam taman'. Ketika itu juga, FRU bertindak untuk 'membersihkan' taman atau dalam bahasa yang lebih mudah, menghalau orang-ramai dari melepak di kawasan taman. Malangnya, kawasan masjid juga perlu dikosongkan. Maka, kami juga terpaksa mengosongkan kawasan masjid...

Arahan yang telah diberikan oleh pihak FRU diperbodohkan. Kerana geram, FRU bertindak menghalau orang ramai dari masjid. "Yang nak solat tinggal! Yang nak lepak berambus! Biarpun tindakan FRU tampak biadap, namun arahan ini dikeluarkan semata-mata untuk mengalau pasangan-pasangan yang 'berasmara' di masjid. Masakan dengan memakai seluar pendek, tidak bertudung dan berpakaian sendat ingin melaksanakan tuntutan syariat di masjid.

Mengambil keputusan untuk menghormati FRU, saya megambil keputusan untuk memanggil ikhwah yang sedang menunggu di masjid. Lagipun, keputusan untuk tidur di sana ingin diubah kerana bahan edaran sudah tinggal sedikit, jadi lebih baik pulang sahaja. Ketika saya sedang sibuk memanggil, datang seorang lelaki yang berserban dan ber'gamis' dari jemaah tabligh menegur saya. "Adakah anda takut dengan makhluk?" Nada suaranya pada mulanya rendah tetapi semakin lama semakin tinggi. Mungkin kerana marah dengan tindakan FRU, saya menjadi bahan 'kemarahan', namun saya memilih untuk diam. Akhirnya berlaku perang mulut di antara lelaki tabligh tersebut dengan FRU.

Saya puji tindakan FRU dan tindakan lelaki tersebut. FRU bertindak untuk mencegah kemungkaran yang berlaku di masjid, manakala lelaki tabligh itu ingin menggalakkan orang ramai untuk berada di masjid, biarpun untuk sekadar melepak. Masing-masing dengan niat yang baik, cuma seharusnya pertengkaran ini kita jauhi. Lelaki tabligh itu perlu lebih rasional. FRU ingin mencegah maksiat, bukan sengaja menghalau. Di dalam suasana tegang sebegini, dakwah tidak akan dapat berjalan lancar, malah menimbulkan fitnah kepada Islam. Renung-renungkan...

Pulang ke Sarang

Jam 2.40 pagi, kami bertolak pulang. Suasana di dalam tren PUTRA LRT memang berbeza dari suasana sebelumnya. Terlalu sesak! Orang ramai sudah mula pulang setelah puas 'berparti' di KLCC. Masih kelihatan lagi kelibat pasangan Melayu yang berpeluk-pelukan. Murahnya harga diri...

Apabila sampai di Terminal Putra, masing-masing layu. Maklumlah, penat. Mungkin penat mengedar risalah, mungkin juga penat mengawal kemarahan melihat suasana yang cukup 'meriah' di KLCC. Moga pengalaman di sana akan mencetuskan keinsafan di dalam diri. Bersyukurlah dengan hidayah yang dikurniakan oleh Allah SWT. Sedarilah pentingnya laluan yang telah diberikan oleh Allah SWT. Mahukah kita menjadi seperti 'kawan-kawan' kita di KLCC yang tidak tahu apa itu Islam, yang tidak faham pengamalan Islam dan tidak menemui jalan untuk mengenal Islam...

Mengenang perjalanan dakwah kami sebentar tadi, kami sempat bertemu dengan lain-lain pihak yang turut 'berjuang' di KLCC, seperti GAMIS dan Dewan Pemuda PAS Pusat. Dengan cara yang berbeza, matlamatnya adalah sama yakni 'amr ma'ruf wa nahi munkar. Yang peliknya, ke mana agensi-agensi kerajaan yang menguruskan hal-hal agama? Di mana JAKIM? Di mana YADIM? Di mana IKIM? Di mana JAIS? Di mana JAWI? Di saat khidmat anda diperlukan, ke mana anda? Namun, mereka tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya. Mungkin terdapat halangan daripada pihak-pihak yang berauthoriti. Maklumlah, sekiranya 'yang atas' membenarkan, masakan 'yang bawah' boleh menghalang? Kasihan juga, seolah-olah menjadi boneka pihak-pihak yang berkepentingan.

Akhirul kalam, semoga kita akan terus menyokong dan menyumbang pada usaha sebegini. Biarpun jumlah Muslim yang prihatin terhadap agamanya adalah minoriti, tetapi itu bukan jadi penghalangnya. Paling penting, semangat dan keazaman yang tinggi dan juga strategi yang tersusun rapi. Saya menyeru kepada NGO-NGO dan badan-badan Islam untuk melaksanakan usaha sebegini. Bukan sekadar di Kuala Lumpur, tetapi di mana sahaja. Tidak mustahil lain-lain negeri di Malaysia bakal mengikut jejak 'kemodenan' Kuala Lumpur. Lihat sahaja pada ideologi yang dipertaruhkan.

Kepada para ikhwah yang telah berjuang bersama, terima kasih yang tidak terhingga. Semoga usaha kita diberkati oleh Allah SWT, insyaAllah. Jangan serik untuk sertai lagi, kerana jika bukan kita, siapa lagi yang akan melakukannya. Memang terasa pahit menjamah perjuangan menegakkan Islam di muka bumi, namun kemanisannya bakal kita nikmati di akhirat kelak. Terima kasih juga kepada para akhawat, Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan lain-lain individu atau pihak yang sanggup menyokong dan memerah keringat membantu menjayakan operasi ini. Moga Allah SWT merahmati usaha kita yang sekadar sebutir pasir di antara jutaan pasir yang memutih di pantai...

Allahu Ta'ala a'lam...

Comments on "Sambutan Tahun Baru 2006: Simbol KEJATUHAN Moraliti Rakyat Malaysia?"

 

post a comment



Join the Mailing List
Enter your name and email address below:
Name:
Email:
Subscribe  Unsubscribe 
Free Mailing Lists from Bravenet.com




Profil blog






Guestmap from Bravenet.com

Tell A Friend

Calendar from Bravenet.com

Sign our guestbook



Powered by Blogger